CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, September 25, 2008

Sejarah Bendera Pulau Pinang



Bendera Pulau Pinang mula diperkenalkan ketika negara hendak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Ia dipercayai mula dikibarkan secara rasminya sewaktu sambutan hari kemerdekaan pada 31 ogos. Tokoh sejarah dan social negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Yusoff Latiff berkata, bendera berkenaan adalah cetusan idea daripada pemimpin kerajaan negeri Pulau Pinang ketika itu.

Menurut beliau, asalnya Pulau Pinang menggunakan bendera negeri selat sewaktu di zaman penjajahan inggeris. Katanya, apabila negara hendak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Tunku Abdul Rahman Putra mengarahkan supaya diciptakan sebuah bendera baru untuk Pulau Pinang.

Maka kerajaan Perikatan di Pulau Pinang ketika itu telah mengilhamkan bendera negeri sepertimana yang ada pada hari ini. “Jika dilihat, bendera Pulau Pinang adalah berbeza dengan negeri-negeri lain dipersekutuan tanah Melayu ketika itu berikutan ciri-cirinya itu baik dari segi warna mahupun lambang,” kata beliau.

Seperti yang dikatakan Yusoff, bendera Pulau Pinang yang diperkenalkan sejak itu terbahagi kepada tiga warna dalam jalur menegak iaitu biru muda bermaksud warna laut yang indah di sekeliling Pulau Pinang. Sementara warna putih pula membawa maksud negeri Pulau Pinang yang aman dan damai, manakala warna kuning melambangkan kemakmuran dan pohon pinang ialah pohon dari mana negeri Pulau Pinang itu mendapat namanya.

Dalam pada itu menurut Yusoff yang juga Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), pada awalnya orang Melayu pada ketika itu memberikan beberapa maklum balas selepas melihat sendiri bendera Pulau Pinang. Katanya, ini kerana orang Melayu Pulau Pinang mahukan beberapa identiti tertentu dimasukkan dalam bendera negeri.

“Cadangan itu dikemukakan oleh orang-orang Melayu Pulau Pinang kepada Tunku Abdul Rahman. Namun pada masa itu Tunku Abdul Rahman memaklumkan sudah terlewat kerana kemerdekaan sudah terlalu hampir. “Selain bendera, ada beberapa lagi cadangan daripada orang Melayu Pulau Pinang dan akhirnya terdapat beberapa kompromi yang dapat diterima semua,” katanya.


PULAU MUTIARA

Terletak berhampiran dengan persisiran barat laut semenanjung Malaysia. Dipisahkan di antara negeri kedah disebelah Utara dan timur, negeri Perak disebelah Selatan dan perairan Selat Melaka dan sumatera (Indonesia) di sebelah barat. Pulau pinang terdiri daripada bahagian Pulau dan juga tanah besar yang dikenali sebagai Seberang Perai. Keluasan kawasan Pulau adalah 285 kilometer persegi yang terpisah sepenuhnya daripada Seberang Perai.

Ianya dihubungkan oleh jambatan Pulau Pinang yang panjangnya 13.5 kilometer dan juga perkhidmatan feri. Berdasarkan Perangkaan Penduduk Tahun 2005, orang Melayu berjumlah 605 500 orang, Cina 631 800 dan india 147,200 sementara lain-lain 84 300. Jumlah penduduk Pulau Pinang ialah 1.5 juta.



KENALI JATA PULAU PINANG.

POHON Pinang ialah tanda asal nama pulau itu. Petak yang berwarna kuning mengandungi gambar jambatan Pulau Pinang yang mempunyai dua tiang dan empat kabel yang menegakkan tiang tersebut. Dua tiang ini melambangkan serampang dua mata di dalam Dasar Ekonomi Baru iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Empat kabel pula melambangkan empat bangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain.

Lima jalur biru dan putih yang berombak memberikan makna lima prinsip Rukunegara dan lima daerah pentadbiran yang terdapat di Pulau Pinang.


INFO PULAU PINANG

Pencipta dan penulis lirik lagu Pulau Pinang ialah Allahyarham Datuk Zainal Alam Zainul Abidin. Menurut tokoh sejarah Pulau Pinang, Datuk Seri Yusuff Latiff, pada awalnya kemerdekaan, Pulau Pinang masih belum mempunyai lagu rasminya sendiri. Kata beliau, sebaliknya lagu Negaraku dimainkan pada upacara-upacara rasmi kerajaan.

Hanya pada awal tahun 70-an baru lagu rasmi Pulau Pinang iaitu “Untuk Negeri Kita” diperkenalkan, katanya. Pencipta dan penulis lagu ini iaitu Allahyarham Zainal Abidin Alam sememangnya merupakan seorang tokoh yang terkenal terutama di Pulau Pinang.

Allahyarham yang meninggal dunia pada tahun 1991 pernah menjawat beberapa jawatan di bidang penyiaran termasuk bergelar Pengarah Penyiaran Wilayah Utara.

Kenali bangsa dan kenali negeri kelahiran sebelum anda layak untuk mencintai Negara anda (MALAYSIA)

dipetik daripada
keluaran khas kemerdekaan terbitan PETRONAS


Pena UMMAH

0 comments: